Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kes penipuan e-dagang dan tawaran kerja sambilan palsu dalam talian mencatatkan peningkatan mendadak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, untuk kes penipuan e-dagang, 309 kes dicatatkan pada tahun lalu berbanding 229 pada 2020 sekaligus merekodkan peningkatan sebanyak 80 kes atau 34.3 peratus.

Beliau berkata, kerugian yang dicatatkan pada tahun lalu mencecah RM1.4 juta berbanding RM803,640.61 tahun sebelumnya.

"Bagi kes penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian pula merekodkan sebanyak 79 kes pada tahun lalu dengan kerugian dicatatkan mencecah RM643,157.49 manakala sepanjang bulan ini sahaja sudah 11 kes dilaporkan.

"Dua jenayah komersil ini menjalankan modus operandi yang memerangkap mangsa kerana jika difikirkan logik, mana ada tawaran kerja yang memerlukan sebarang bayaran perlu dibuat oleh pemohon?

"Nasihat saya supaya orang ramai lebih berhati-hati menguruskan situasi itu dan hentikan segera sebarang prosedur jika ia mendatangkan kecurigaan," katanya selepas hadir dalam majlis himpunan bulanan yang diadakan di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Shafien Mamat (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada 33 penerima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugasan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Shafien Mamat (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada 33 penerima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugasan. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Dalam majlis yang sama, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada 33 penerima yang terdiri daripada ketua polis daerah, pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugasan sekaligus menyelesaikan banyak kes membabitkan jenayah, narkotik atau komersil.

Shafien berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 63 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib termasuk sembilan dibuang kerja.

"Sebayak 50 kertas siasatan sudah dibuka untuk tahun lalu dan paling banyak kesalahan yang dilakukan adalah membabitkan jenayah serta dadah.

"Sebanyak 121 kes sudah disiasat dengan 63 daripada pegawai dan anggota sudah dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja," katanya.

Berhubung satu laporan yang diterima mengenai pemalsuan kad vaksinasi Covid-19 baru-baru ini, Shafien berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan keterangan daripada Pharmaniaga Bhd untuk maklumat lanjut bagi meneruskan siasatan.

"Proses mengambil keterangan sudah selesai 50 peratus dan kita minta agar mana-mana individu yang mengetahui atau meragui mengenai penipuan kad vaksinasi sebegini agar menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:14 PM