Mohd Azman Ahmad Sapri, merasmikan Astaka dan Dewan Terbuka IPK Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Azman Ahmad Sapri, merasmikan Astaka dan Dewan Terbuka IPK Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis masih menyiasat 52 laporan daripada ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia yang didakwa terkandas di luar negara khususnya di Myanmar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebelum ini pihaknya menerima 81 laporan dan 30 daripada mangsa berjaya dibawa balik ke Malaysia, September lalu.

Menurutnya, polis Sarawak bekerjasama dengan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Pnyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan lokasi mangsa serta berusaha menyelamatkan mereka.

"Bahagian D3 JSJ Bukit Aman sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu itu.

"Polis Sarawak menerima laporan oleh ahli keluarga mangsa selepas mereka dihubungi mangsa yang memaklumkan mereka terkandas di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Astaka dan Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mohd Azman berkata, kesemua 52 laporan yang masih dalam siasatan itu dibuat di beberapa daerah antaranya Sibu, Kuching dan Miri.

"Semua mangsa tertarik dengan tawaran kerja bergaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) selain dijanjikan tempat penginapan, kos tiket dan pasport ditanggung.

"Modus operandi sindiket pemerdagangan manusia itu biasanya membuat iklan tawaran kerja di pusat kasino menerusi media sosial dan laman web pencari pekerjaan.

"Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila mangsa tiba di negara terbabit, mereka dipaksa melakukan penipuan dalam talian," katanya.

Sementara itu, mengenai indeks jenayah di Sarawak dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, Mohd Azman berkata, secara umumnya keadaan jenayah di Sarawak masih rendah dan terkawal.

Menurutnya, bagi tempoh itu indeks jenayah menurun sebanyak 31 kes iaitu 3,281 kes berbanding 3,312 dalam tempoh sama pada 2022.

"Kes jenayah narkotik menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus iaitu seramai 9,198 suspek ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding 7,965 dalam tempoh sama tahun lalu.

"Rampasan dadah pada Januari hingga Oktober tahun ini pula bernilai RM127.3 juta berbanding RM125.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

"Manakala aset yang dirampas pula bernilai RM5.08 juta berbanding RM2.4 juta dalam 10 bulan tahun lalu," katanya.

Katanya, jenayah komersil turut menunjukkan peningkatan pada tahun ini iaitu 2,575 kes yang menyebabkan kerugian sebanyak RM106 juta berbanding 2,107 kes dengan kerugian RM57.4 juta tahun lalu.

"Jenayah komersil itu membabitkan e-dagang sebanyak 503 kes yang menyebabkan kerugian RM4 juta, pinjaman tidak wujud sebanyak 264 kes kerugian RM2 juta dan tipu tawaran kerja sambilan dalam talian sebanyak 253 kes dengan kerugian RM8 juta.

"Selain itu, phone scam sebanyak 226 kes menyebabkan kerugian RM14.3 juta dan tipu pelaburan sebanyak 222 kes yang menyebabkan kerugian sebanyak RM22.9 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:21 PM