HANTARAN tular di media sosial. FOTO tular
HANTARAN tular di media sosial. FOTO tular
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Polis menafikan sekeras-kerasnya berhubung penyebaran berita membabitkan pergaduhan antara kaum yang tular di media sosial Facebook (FB) 'Ayahanda-ayahanda Sungai Petani', baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penyebaran berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kejadian berkenaan berlaku di Sungai Petani mencetuskan gempar buat masyarakat setempat.

"Kita harap orang ramai menghentikan serta-merta menyebarkan perkara yang tidak benar sehingga boleh mengguris sentimen masyarakat.

"Selain itu, kita juga memohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, pihaknya juga ingin memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba menyebarkan berita palsu seumpama itu supaya menghentikannya dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Ranveer Singh Purba Sintokh Singh di talian 018-4674764 atau 04-4299222.

Baru-baru ini, berita kononnya berlaku pergaduhan teruk membabitkan dua kaum tular di media sosial dan turut disebarkan melalui kiriman mesej oleh individu yang sengaja mahu mencetus kekecohan.

Antara kandungan berita yang disebarkan itu mendakwa pergaduhan berlaku antara kumpulan kongsi gelap, puak pelampau serta turut membabitkan anggota polis sehingga perintah darurat terpaksa dikeluarkan.

Difahamkan, penyebaran berita palsu terbabit tercetus rentetan daripada kejadian seorang pengawal keselamatan yang dilibas pedang oleh seorang lelaki di sebuah tapak projek perumahan di Bukit Banyan Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 7:17 PM