PHILIP
PHILIP
KULANI
KULANI
TINGKAT kesedaran sempena Hari Internet Selamat.
TINGKAT kesedaran sempena Hari Internet Selamat.
Muhammad Saufi Hassan


KEGIATAN penipuan serta kebocoran data peribadi kekal menjadi ancaman utama dalam ruang siber terutama membabitkan lapisan masyarakat yang kurang terdedah dengan modus operandi sindiket penipuan.

Sempena Hari Internet Selamat yang disambut hari ini, pengguna perlu lebih prihatin terhadap budaya penggunaan ruang siber serta sentiasa berhati-hati ketika mahu berkongsi data peribadi atau menerima mesej atau e-mel yang diragui.

Kebanyakan pengguna Internet terdiri dalam kalangan individu berusia mengetahui sindiket penipuan atas talian namun tidak sedar bahawa sindiket itu mampu mempunyai rangkaian yang kompleks sehingga menjadi mangsa penipuan.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi Telecommunications, Philip Ling berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengguna banyak meluangkan masa di ruang siber terutama membabitkan platform laman dagang maya.

"Ia membabitkan beberapa laman dagang utama yang menjadi tumpuan dan wujud juga segelintir pengguna ruang siber yang tahu mengenai penipuan atas talian namun tidak menyedari bahawa modus operandi sindiket ini boleh menjadi begitu kompleks.

SINDIKET boleh menyamar, mempunyai rangkaian nombor telefon pelbagai.
SINDIKET boleh menyamar, mempunyai rangkaian nombor telefon pelbagai.

"Contohnya, sindiket ini boleh menyamar sebagai polis atau pegawai jabatan kerajaan dan mempunyai rangkaian nombor telefon yang pelbagai untuk mengabui mata orang ramai serta memperlihatkan bahawa mereka umpama pegawai kerajaan sebenar.

"Akibatnya, pengguna menjadi mangsa dan terjerat dalam sindiket ini, sebab itu kita masih membaca laporan akhbar berhubung kes penipuan atas talian ini kekal aktif terutamanya pada tempoh PKP ini," katanya kepada #ITMetro, semalam.

Philip berkata, kebocoran data pengguna serta penipuan atas talian ini kekal menjadi ancaman dalam ruang siber dan Digi sentiasa mengawal selia perkara berkenaan kerana ia adalah fokus penyedia perkhidmatan berkenaan untuk memastikan data sensitif pengguna dijaga dengan baik.

Beliau berkata, pihaknya juga membangunkan pangkalan data berasaskan laman web yang akan menyenaraikan sindiket penipuan atas talian malah pengguna juga boleh menyumbang maklumat berhubung kegiatan jenayah itu.

"Ia bukan sekadar laman web sebaliknya kita juga akan mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa apabila wujud keperluan antaranya modus operandi sindiket yang baharu atau rangkaian penipuan yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, Pegawai Perlindungan Data Digi, Kulani Kulasingam berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai prosedur supaya data pengguna sentiasa dikawal selia pada tahap tertinggi setiap masa.

"Kita umpama 'penjaga data' peribadi pengguna dan kami sentiasa memastikan supaya setiap data itu disimpan dengan baik serta mematuhi prosedur yang sudah ditetapkan.

"Pengguna hari ini begitu prihatin terhadap data peribadi mereka dan itu adalah perkembangan yang baik. Ia memperlihatkan pengguna di negara ini mempunyai kesedaran bahawa data sensitif mereka perlu dikawal dengan baik," katanya.

SINDIKET penipuan atas talian dan kebocoran maklumat kekal sebagai ancaman utama ruang siber.
SINDIKET penipuan atas talian dan kebocoran maklumat kekal sebagai ancaman utama ruang siber.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan kepada pengguna ruang siber supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan mesej atau e-mel yang diterima.

SKMM menyatakan amalan terbaik dalam ruang siber adalah sentiasa melakukan semakan dengan agensi rasmi berkaitan dan tidak hanya bergantung kepada kiriman e-mel atau mesej yang diragui kesahihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:20 AM