AHMAD Samsuri (tengah) menerima memorandum berhubung isu royalti minyak dari wakil NGO. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (tengah) menerima memorandum berhubung isu royalti minyak dari wakil NGO. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu tidak mahu berseteru dan mempersalahkan kerajaan Pusat berhubung isu royalti petroleum yang menjadi topik perbualan ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan itu tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya akan merugikan rakyat.

Beliau juga percaya isu berkenaan tidak akan mengeruhkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Katanya, pihaknya akan menangani permasalahan yang timbul dengan menggunakan pelbagai saluran yang ada bagi mendapatkan baki wang royalti yang sepatutnya diberikan kepada rakyat negeri itu.

"Pada saya tidak (mengeruhkan hubungan) saya sentiasa sebut dari dahulu sampai sekarang tidak menjadi objektif kerajaan negeri untuk berseteru atau mencari pasal dengan mana-mana pihak.

"Kita ingin urus tadbir kerajaan negeri dengan tenang dan baik kerana ini semua manfaat yang baik untuk rakyat.

"Sebarang masalah yang timbul saya percaya masalah tetap akan timbul tapi kita cuba tangani dengan pelbagai saluran yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Istiadat Pembukaan Penggal) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:28 PM