ROZI (dua kanan) memotong kek sebagai tanda 100 hari dilantik sebagai Pengerusi UMNO negeri. FOTO Baharom Bakar
ROZI (dua kanan) memotong kek sebagai tanda 100 hari dilantik sebagai Pengerusi UMNO negeri. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Berang: UMNO negeri akan berusaha memastikan hak dan pelbagai peruntukan termasuk royalti minyak dikembalikan ke Terengganu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat menegaskan, Barisan Nasional (BN) pernah menjadi kerajaan, tetapi tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Justeru itu katanya, BN dan UMNO akan bersama berusaha memastikan peruntukan royalti minyak dikembalikan ke Terengganu.

"Kita akan menggunakan kaedah dan cara kita sendiri, paling penting negeri dan seluruh rakyat Terengganu mendapat manfaat.

"Bagi memastikan tidak berlaku kebocoran, perjuangan kita adalah apa yang sepatutnya dapat kepada negeri (royalti) mesti sampai ke Terengganu," katanya pada Majlis Santunan Kaseh Ramadan, anjuran UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kampung Binjai Kertas, di sini, malam tadi.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, Tengku Mahari Tengku Chik dan Ketua Pergerakan UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Pada majlis itu, Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu turut menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) peringkat Parlimen Hulu Terengganu.

Ketika diminta mengulas dakwaan UMNO negeri campur tangan dalam mempengaruhi Kerajaan Pusat menyekat pembayaran, termasuk tunggakan royalti minyak, Rozi menegaskan, pucuk pimpinan parti tidak pernah menyekat sebarang peruntukan hak negeri.

"Kita tidak pernah mencampuri urusan kerajaan, walaupun kita pernah menjadi kerajaan.

"Sebagai rakyat Terengganu... anak jati Terengganu dan mendapat pendidikan di Terengganu serta akan berakhir di Terengganu, menjadi hasrat kita untuk bersama membantu apa yang boleh dalam kontek kerajaan, orang ramai dan kepentingan rakyat negeri," katanya.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, UMNO berharap kerajaan negeri menggunakan kaedah terbaik untuk terus berbincang dengan kerajaan pusat supaya wang royalti minyak dikembalikan kepada negeri.

"Sebagai sebuah parti, kita tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk berkaitan dengan isu tuntutan tunggakan pembayaran royalti minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 9:01 AM