Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim dan Hidayatul Akmal Ahmad


KERAJAAN komited mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu pembayaran royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hak kedua-dua negeri terbabit sentiasa dihormati dan sebarang tuntutan akan dilaksanakan berdasarkan keupayaan kewangan negara.

“Saya ingin memberikan komitmen kerajaan baharu yang dipimpin Yang Amat Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan memastikan apa juga yang dijanjikan akan dilunaskan.

“Itu sebabnya saya mengambil pendirian perkara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

“Kes Kelantan sedikit berbeza. Kami tidak bayar langsung sebab Yang Berhormat saman kami, maka apabila saya baca kenyataan Menteri Besar Kelantan menarik semula saman, bagi saya itu permulaan baik.

“Tindakan ini akan mewujudkan suasana kondusif supaya penyelesaian dapat dilakukan secara adil dan saksama,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berhubung tuntutan baki royalti minyak Terengganu dan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai royalti yang tidak pernah dibayar kerajaan.

Terdahulu, Mohd Khairuddin memohon penjelasan berhubung pembayaran baki royalti minyak berjumlah RM500 juta yang diserahkan PETRONAS kepada kerajaan tetapi belum diterima kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, selain bayaran royalti minyak, kerajaan komited menyalurkan peruntukan pembangunan secara adil dan saksama kepada semua negeri, termasuk yang diperintah pembangkang.

“Berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), PETRONAS perlu memberikan bayaran tunai atau royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak dan gas berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:46 PM