GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jambatan Toseng Sungai Batu dekat Jalan Kampung Toseng, di sini, semalam.

Pada kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Dabong.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, hasil siasatan awal mendapati Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari arah Kampung Jerek menghala ke Dabong.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam sungai berdekatan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu dalam kemalangan berasingan, Mazlan berkata, suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 76 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat jambatan Pahi di sini, 4.34 petang semalam.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 8:17 AM