FOTO Hamzah Osman
FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


HASRAT dua remaja untuk berkelah di air terjun tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki terbabas merempuh pokok di Jalan Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Mohd Iliyas Mohamad, 19, dari Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka yang membonceng motosikal berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Kedua-dua mereka dikatakan dalam perjalanan ke Air Terjun Temurun di Jalan Datai.

Bagaimanapun, rakan sekampungnya, Muhammad Nor Eman Mohd Senawi, 17,yang menunggang motosikal itu, cedera ringan kini dirawat di Hospital Langkawi (HL).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Ketika kejadian mangsa yang membonceng motosikal ditunggang rakannya dalam perjalanan dari Kuah menghala ke Teluk Yu.

"Tiba-tiba motosikal dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok," katanya.

Che Ghazali berkata, mayat mangsa kemudian dihantar HL untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Bukit Temin.

"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit tiada lesen memandu, namun kedua-dua mangsa memakai topi keledar ketika kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

#kw kemalangan motosikal, pembonceng maut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 8:42 PM