Seramai 71 pelajar asrama tingkatan 1,2 dan 4 bersama 7 guru pengiring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat mengibar sambil menyanyi lagu Jalur Gemilang sempena program Kembara Merdeka Asrama SMK Geting ke Asrama SMK Dabong dengan menaiki kereta api di Stesen KTM Tumpat. FOTO Zaman Huri Isa

Siti Rohana Idris

TUJUH puluh satu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Tumpat dibawa menaiki kereta api dari Stesen KTMB Wakaf Bharu hingga Dabong, Kuala Krai, hari ini.

Mereka dibawa menaiki kenderaan itu sempena program Kembara Merdeka bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan.

Perjalanan lebih 100 kilometer itu akan diteruskan hingga ke SMK Dabong.

Pengetua SMK Geting, Noor Azlina Omar berkata, program itu disertai pelajar yang tinggal di asrama sekolah, julung kali diadakan untuk menyemai rasa kecintaan terhadap negara.

"Sepanjang tiga jam setengah perjalanan, akan dipenuhi pelbagai aktiviti bertemakan patriotik dan kenegaraan.

"Antaranya, pertandingan kuiz, deklamasi sajak merdeka, melukis mural dan sesi latihan untuk nyanyian lagu sempena persembahan teater kemerdekaan yang akan diadakan di sekolah nanti," katanya.

Beliau berkata, pelajar juga diminta mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan "merdeka" di beberapa hentian sebelum tiba di Stesen KTMB Dabong.

Noor Azlina juga berkata, pihaknya mengambil kesempatan program itu untuk menjalin hubungan erat dengan SMK Dabong dan berkongsi kecemerlangan sekolah masing-masing.

Katanya, kemuncak program sambutan kemerdekaan negara akan diadakan pada 18 September.

Seorang pelajar, Azhan Aiman Zawawi, 16, yang menyertai program itu menzahirkan kegembiraan apabila dapat menaiki kereta api buat pertama kali untuk kembara terbabit.

"Saya seronok dan sangat teruja dapat sertai kembara ini dan tak sabar untuk menemui rakan baru di Dabong nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 12:14 PM