Jenazah Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar tiba di perkarangan Masjid Negara untuk dimandikan dan seterusnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan. FOTO SADIQ SANI
Jenazah Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar tiba di perkarangan Masjid Negara untuk dimandikan dan seterusnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan. FOTO SADIQ SANI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar dianggap seorang yang tegas namun amat mengambil berat permasalahan dihadapi anggota bawahannya.

Anak kedua Allahyarham, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata, bapanya selalu mengambil kira pandangan pegawai bawahan walapun ketika itu memegang jawatan sebagai KPN.

"Saya masih ingat dibawa arwah bapa bertemu anggota bawahannya ketika dia masih belajar di sekolah menengah.

"Ketika itu arwah bapa ingin tahu permasalahan dihadapi anggotanya. Dia kemudian pulang dan bertemu Pengarah di Bukit Aman dan berbincang untuk menyelesaikan permasalahan itu," katanya ketika ditemui di Masjid Negara, di sini, tadi.

Abdul Rahmat berkata, selain tegas, bapanya juga seorang yang berpegang kuat kepada undang-undang dan akan menahan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan mereka jika melakukan kesalahan.

"Ia termasuklah ahli politik. Jika ada yang membuat kesalahan, mereka (ahli politik) turut akan diambil tindakan oleh arwah bapa. Dia tidak akan berkompromi terhadap individu yang melanggar undang-undang," katanya.

Abdul Rahmat yang juga pakar penerbangan berkata, komitmen yang ditunjukkan bapanya sebagai seorang pegawai polis amat tinggi sehingga meletakkan kepentingan negara melebihi keluarga.

"Pernah diceritakan kepada saya, ketika ibu melahirkan arwah kakak, arwah bapa ketika itu sedang bertugas di Bangkok, Thailand. Malah, beliau juga tidak berkesempatan melihat saya dan adik-adik dilahirkan.

"Sehinggalah kami dewasa, beliau meletakkan negara sebagai nombor satu namun kami semua sangat memahami tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, antara perbualan terakhirnya dengan arwah adalah berkenaan perang di Teluk Arab membabitkan Palestin, Iran dan Israel di mana arwah menasihatkan supaya menjaga Malaysia dengan baik.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Tun Hanif dianggap sebagai seorang lagenda dalam polis yang sangat patriotik.

"Ketika itu, beliau (Tun Hanif) berusia 35 tahun sudah menjadi Ketua Polis Negara. Bapa saya dan saya juga pernah berkhidmat bawah beliau dan banyak perkara-perkara yang baik disumbang kepada pasukan dan kerajaan selama berkhidmat.

"Lebih 10 tahun juga saya berkhidmat dan bermula dari pangkat Inspektor sehingga Asisten Superintendan (ASP)," katanya ketika ditemui di Masjid Negara tadi.

Terdahulu dianggarkan 1,000 orang hadir dan bersama-sama menunaikan solat jenazah di Masjid Negara sebelum Tun Mohammed Hanif dikebumi di Tanah Perkuburan Mont Kiara.

Sebelum ini arwah sepatutnya dikebumi di Makam Pahlawan namun atas permintaan keluarga, beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Mont Kiara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:39 PM