ALLAHYARHAM Tun Mohammed Hanif Omar. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Tun Mohammed Hanif Omar. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Keluarga bekas Ketua Polis Negara (KPN) menafikan mereka menukar lokasi pengebumian jenazah Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar yang ditetapkan di Makam Pahlawan ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kelmarin.

Anak kedua Allahyarham, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol bersama keluarga mengenai lokasi pengebumian itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 9.45 pagi, supaya mempertimbangkan untuk jenazah bapanya dibawa ke Masjid Negara sebelum pengebumian di Makam Pahlawan.

"Selepas berbincang dengan ibu saya, kami bersetuju. Ini adalah maklumat dan komunikasi terakhir mengenai pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham sehinggalah pengumuman dibuat oleh Imam Masjid Negara memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan di Bukit Kiara.

"Tidak ada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol dengan keluarga, lebih-lebih lagi dengan saya sebagai waris dan wakil keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Allahyarham sepatutnya dikebumikan di Makam Pahlawan namun atas permintaan keluarga, beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Mohammed Hanif, 85, meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor, jam 2.15 pagi Sabtu lalu.

Abdul Rahmat berkata, beliau membuat kenyataan terbabit kerana terdapat khabar bahawa keluarganya membuat permohonan pertukaran itu.

Katanya, terdapat juga pihak membuat andaian berbaur politik yang tidak sihat.

Mohammed Hanif adalah Ketua Polis Negara ke-4 dan pernah memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu dari tahun 1974 sebelum bersara secara rasmi pada 16 Januari 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:38 PM