Perhilitan menangkap gajah liar jantan di kawasan Kampung Tal Tujuh, Jerangau, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan
Perhilitan menangkap gajah liar jantan di kawasan Kampung Tal Tujuh, Jerangau, semalam. FOTO Ihsan Perhilitan
Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang merosakkan tanaman dan harta benda penduduk di Kampung Tal Tujuh, Jerangau, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan mengenai haiwan berkenaan sebelum enam orang anggota dari Jabatan Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan menjalankan pemantauan dan tangkapan.

Katanya, ia sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan berkenaan seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan

yang dialami akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah.

"Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan

bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang pada masa sama turut membabitkan

kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan.

"Bagaimanapun dengan tangkapan dan pemindahan gajah liar ini bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku.

"Dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini adalah lebih daripada 20 ekor," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya

mengambil langkah-langkah mitigasi.

"Antaranya memasang lampu LED biru di laluan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun dan sentiasa membersihkan kebun serta tidak dibiarkan bersemak samun.

"Selain itu, pekebun-pekebun juga dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun bagi mengurangkan gangguan konflik yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, pembinaan SPEG adalah salah satu kaedah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.

"Walau bagaimanapun, pembinaan SPEG ini hendaklah mengikut spesifikasi yang sepatutnya bagi memastikan ianya berfungsi dengan baik," katanya.

Katanya, orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak

mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahayakeselamatan kepada diri sendiri.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 3:09 PM