Jenayah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar tiba di Masjid Negara jam 11.05 pagi ini.
Jenayah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar tiba di Masjid Negara jam 11.05 pagi ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang akan dikebumikan di Makam Pahlawan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mengebumikan Allahyarham di Makam Pahlawan hari ini.

"Beliau (Tun Hanif) adalah Ketua Polis Negara yang keempat di mana beliau sangat bijak mengurus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu.

"Dalam masa sama beliau juga sangat membantu kerajaan yang memerintah ketika itu

"Beliau juga dianggap legenda dalam PDRM," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Razarudin berkata, beliau dan keluarga juga mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Tun Hanif.

Allahyarham Tun Mohammed Hanif adalah KPN Ke-4 dan pernah memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu dari tahun 1974 sebelum bersara secara rasmi pada 16 Januari 1994.

Allahyarham yang berusia 85 tahun meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor awal pagi tadi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Negara untuk solat jenazah sebelum dikebumikan.

Antara bekas Ketua Polis Negara (KPN) yang hadir ke Masjid Negara Tan Sri Musa Hassan, Tan sri Ismail Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mazlan Mansor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit AmanDatuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:34 AM