Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penggunaan telefon pintar dan peralihan kepada dunia digital dalam urusan seharian menyebabkan penggunaan pautan menjadi satu kelaziman.

Masyarakat didedahkan dan dibiasakan dengan penggunaan pautan termasuk untuk berkongsi artikel berita, maklumat, penghantaran kad ucapan dan pautan iklan.

Kebiasaan ini menjadikan pautan sebagai satu perkara yang dilihat tidak berbahaya serta boleh dipercayai oleh kebanyakan pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu diambil kesempatan oleh sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa.

"Kami mengesan beberapa taktik oleh sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi ini seperti menghantar pautan mengandungi fail apk (android package kit).

"Mana-mana individu yang memuat turun fail berkenaan akan mengakibatkan telefon milik mereka digodam," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, sindiket penipuan juga akan menghantar pautan yang sekiranya ditekan akan membawa mangsa kepada laman sesawang perbankan palsu.

"Apabila perkara itu berlaku, ia akan menyebabkan mangsa secara tidak sengaja memberikan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian.

"Sindiket itu juga ada menghantar pautan yang jika ditekan akan memperdayakan mangsa untuk memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Tindakan itu akan mengakibatkan wang milik mangsa dipindahkan atau akaun media sosial mereka seperti WhatsApp serta Telegram digodam," katanya.

Beliau berkata, operasi sindiket penipuan yang menghantar pautan kepada mangsa secara rawak tidak hanya terhad dalam tempoh masa tertentu.

Katanya, mereka bijak memanipulasi keadaan semasa dan situasi yang sedang berlaku di dalam negara.

"Contohnya tatkala kerajaan mengumumkan pemberikan bantuan STR (Sumbangan Tunai Rahmah), sindiket penipuan ini juga akan menghantar mesej melalui WhatsApp atau Telegram.

"Mesej yang dihantar itu akan disertai dengan pautan kononnya untuk tujuan permohonan bantuan berkenaan.

"Namun hakikatnya, 'borang' permohonan yang disertakan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan butiran peribadi dan maklumat perbankan milik mangsa," katanya.

RAMLI. FOTO Arkib NSTP
RAMLI. FOTO Arkib NSTP

KES 1

Pada 2 Februari lalu, satu laporan polis diterima di Menggatal, Sabah mengenai kehilangan wang daripada akaun bank milik seorang peniaga.

Seminggu sebelum kejadian, pengadu yang juga lelaki berusia 35 tahun menerima pautan di telefon bimbitnya.

Selepas menekan pautan itu, telefonnya terus terpadam dan pengadu mendapati skrin telefonnya kerap bergerak-gerak dipercayai akibat digodam.

Pengadu juga mendapati wang dalam akaun simpanannya, e-wallet Facebook, Tiktok dan akaun Google Finance sudah hilang dengan kerugian dialami berjumlah RM211,955.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

KES 2

Pada 16 Februari lalu, satu laporan polis diterima di Sentul, Kuala Lumpur berkaitan pengurangan sejumlah wang dari akaun bank milik seorang pegawai sumber manusia.

Menurut pengadu yang juga lelaki berusia 26 tahun, dia terlihat iklan di sebuah laman sesawang memaparkan koleksi komik secara dalam talian.

Untuk mendapatkan akses membaca komik itu, pengadu diminta untuk menekan pautan yang dihantar kepadanya.

Selepas menekan pautan itu, pengadu diminta untuk memasukkan beberapa maklumat kononnya sebagai keperluan melanggan bahan bacaan berkenaan.

Sebaik memasukkan maklumat, pengadu mendapati 29 transaksi pemindahan wang dibuat keluar dari akaun bank miliknya.

Kerugian keseluruhan dialami pengadu adalah RM154,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

5,776 kes tipu e-kewangan direkod sejak 2019

Sebanyak 5,776 kes penipuan e-kewangan di seluruh negara dicatatkan bagi tempoh 2019 hingga tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM418,985.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penggunaan pautan bagi tujuan penipuan adalah taktik yang membawa kepada jenayah e-kewangan.

Katanya, ia dirujuk sebagai kategori penipuan seperti BEC (Business Email Compromise), 'hacking', penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan 'phishing'.

"Pada 2019, sebanyak 869 kes e-kewangan direkodkan dengan kerugian sebanyak RM138,347 dan jumlah itu menurun kepada 662 kes pada 2020 dengan kerugian RM25,872.

"Bagaimanapun jumlah kes direkodkan meningkat pada 2021 dengan 896 kes membabitkan kerugian RM73,454 dan jumlah kes terus meningkat pada 2022 apabila mencatatkan 1,257 kes serta RM76,216 kerugian.

"Pada tahun lalu, jumlah kes direkodkan meningkat hampir sekali ganda apabila mencatatkan 2,092 kes membabitkan kerugian RM105,093," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kepakaran siber serta kelengkapan sewajarnya untuk mengesan pelaku di sebalik sindiket penipuan itu.

"Malah, PDRM juga sentiasa berganding bahu dengan agensi lain berkaitan keselamatan siber seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cybersecurity Malaysia dalam usaha pembanterasan kegiatan jenayah siber.

"Dari aspek siasatan, PDRM turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sentiasa membantu dalam soal perkongsian maklumat," katanya.

Menurutnya, pembanterasan terhadap kes sebegini dilakukan melalui kaedah sama seperti kes jenayah komersial yang lain iaitu melalui siasatan, operasi dan pertuduhan di mahkamah.

"Namun bagi memastikan pembanterasan yang lebih efektif, JSJK turut memberikan penekanan kepada aspek pencegahan menerusi siri kempen, wawancara, ceramah dan sebagainya.

"JSJK sentiasa mengingatkan masyarakat untuk tidak mengisi maklumat peribadi dan maklumat perbankan di dalam mana-mana aplikasi yang mencurigakan.

"Kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah perkara yang paling utama memandangkan taktik penipuan ini akan sentiasa berubah seiring dengan perkembangan semasa," katanya.

'Suka tekan link punca kena scam'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 12:00 PM