MOHAMAD Aisham (kiri) menyerahkan sumbangan baju raya kepada dua anak Nasarudin. FOTO Ihsan Nasarudin Md Nasir
MOHAMAD Aisham (kiri) menyerahkan sumbangan baju raya kepada dua anak Nasarudin. FOTO Ihsan Nasarudin Md Nasir
Redzuan Muharam

Port Dickson: 'Daddy jangan sakit ya...jangan tinggalkan adik dengan abang'.

Itu ungkapan Mikael Danish Qaizer, 7, anak bongsu kepada Nasarudin Md Nasir, 52, yang masih segar diingatannya sehingga ke hari ini.

Menurut Nasarudin, hatinya sebak mendengar kata-kata itu namun enggan menunjukkan kesedihan di hadapan anaknya walaupun kini menderita dengan masalah buah pinggang kiri mengecil.

Nasarudin yang menetap di Taman Desa, Rantau di sini, mengakui tidak mudah untuk berdepan dengan ujian itu lebih-lebih lagi selepas isterinya, Zudairulwati Jaafar, meninggal dunia pada 2 Januari lalu akibat barah paru-paru tahap empat.

Bagaimanapun, dia tiada pilihan melainkan bangkit untuk membesarkan dua anaknya, Mikael Damien Qaizer, 9, dan Mikael Danish Qaizer.

Bercerita lanjut, penyakitnya dikesan selepas menjalani pemeriksaan di sebuah klinik pada 20 Mac lalu.

"Bagaimanapun, kes saya dirujuk ke hospital dan kini masih menunggu hasil keputusan terperinci.

"Buat masa ini, saya bertahan dengan makan ubat tahan sakit dan antara rawatan yang disyorkan adalah dialisis.

"Tetapi tiada siapa yang boleh bantu jaga anak jika saya teruskan rawatan nanti. Anak, terutama adik (anak bongsu) pula sangat manja dengan saya. Berat hati hendak tinggalkan kecuali waktu mereka ke sekolah," katanya ketika dihubungi.

Nasarudin berkata, ketika isterinya masih ada, mereka bersama mencari rezeki dengan membuka gerai menjual makanan barat.

Menurut Nasarudin, pemergian isteri menyebabkannya 'patah kaki' kerana sukar bergerak sendiri hingga menyebabkannya tidak aktif berniaga seperti dulu, terutama selepas jatuh sakit.

"Gerai dan tapaknya masih ada, cuma saya yang tak mampu nak teruskan kerana pergerakan kini terbatas, nak bergerak banyak pun sakit.

"Jadi, kebanyakan masa saya berada di rumah dengan anak dan jika keluar pun, waktu hantar mereka ke sekolah.

"Sekarang ini memang tidak ada pendapatan tetap namun Ramadan lalu, saya cuba cari juga duit dengan ambil upah dengan memasak di rumah dan menjualnya kepada rakan.

"Itu saja dan selebihnya, saya bergantung dengan bantuan barangan keperluan asas sebanyak RM200 sumbangan Baitulmal yang berakhir Ogos ini dan bantuan persekolahan anak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang masih perlu menanggung bayaran sewa rumah RM450 sebulan.

Sementara itu, orang ramai yang berhasrat membantu Nasarudin boleh menghubunginya di talian 011-18782672.

Lantaran kepayahan hidup, Nasarudin tidak dapat menggembirakan dua anaknya dengan membelikan baju raya.

"Kami tidak sambut Syawal seperti orang lain namun rezeki anak saya apabila Mohamad Aisham Manap iaitu pegawai media bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, datang ke rumah menyumbang baju raya buat abang dan adik.

"Nak harapkan saya memang tak mampu. Saya tidak kisah tiada baju baru tetapi yang penting anak ada kerana mahu mereka gembira.

"Lagipun, saya kena jaga emosi anak terutama adik yang tidak boleh lihat orang lain memeluk ibu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:16 AM