(Kiri) TANGKAP layar video Hafiz Bukhari mendukung bapanya, Zulkefly Abd Wahid untuk ke rumah ibunya pada malam raya lalu menyentuh hati warganet. FOTO Ihsan Hafiz Bukhari Zulkefly
(Kiri) TANGKAP layar video Hafiz Bukhari mendukung bapanya, Zulkefly Abd Wahid untuk ke rumah ibunya pada malam raya lalu menyentuh hati warganet. FOTO Ihsan Hafiz Bukhari Zulkefly
Redzuan Muharam

Sitiawan: "Masa kecil abah dukung abang, sekarang abang pula dukung abah,"

Demikian coretan kapsyen pramugara, Hafiz Bukhari Zulkefly, 40, menerusi perkongsian video dimuat naik di TikTok baru-baru ini.

Menerusi video itu, kelihatan Hafiz Bukhari berjalan dengan mendukung bapa, Zulkefly Abd Wahid, 71.

Perkongsian video itu mengundang sebak dalam kalangan warganet yang tersentuh melihat kasih sayang Hafiz Bukhari terhadap bapanya.

Berkongsi kisah sebenar, Hafiz Bukhari berkata, video itu dirakam oleh adiknya pada malam raya tempoh hari sewaktu dia mahu membawa bapa ke rumah ibunya, Rafeah Bidin, 68.

"Waktu itu hujan dan saya dukung abah dari rumah kakak ke rumah ibu yang terletak di hadapan saja.

"Ikutkan ada kerusi roda namun tak guna kerana tak nak ia kotor jadi saya dukung saja abah.

"Lagipun, abah sudah tak boleh berjalan sejak empat tahun lalu akibat strok sebelah kanan badan jadi memang kena bantu angkatnya untuk bergerak.

"Saya bawa abah ke rumah emak pun kerana esoknya kami nak berkumpul satu keluarga di rumah emak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Hafiz Bukhari, buat masa ini dia menetap di Bandar Saujana Putra, Selangor dan bapanya pula tinggal di sini dengan dijaga oleh kakak sulungnya.

Bagaimanapun, setiap kali ada kelapangan atau cuti, Hafiz Bukhari akan pulang ke kampung untuk menjenguk keadaan ibu dan bapanya.

"Emak yang paling berat nak terima waktu mula dapat tahu keadaan abah kerana selama ini dia harapkan abah.

"Saya pun terkesan kerana sebelum ini tak berapa risau kerana tahu abah ada untuk jaga emak tapi kini bimbangkan mereka memandangkan kedua-duanya sudah uzur.

"Mujur ada kakak yang bantu tapi saya kerap pulang juga kerana nak uruskan abah perlukan tenaga lelaki juga untuk bantu.

"Apa pun, saya bersyukur kerana ada kesempatan beraya dengan emak juga abah tahun ini. Seperti tahun sudah, kami adik beradik tetap sediakan kelengkapan mereka termasuk abah walaupun keadaan kesihatannya tak macam dulu," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Hafiz Bukhari berkata, niatnya memuat naik video itu sekadar untuk dijadikan kenangan dan tidak menyangka perkongsiannya akan tular.

"Melihat ruangan komen buat saya tersentuh kerana ramai beri maklum balas video itu dekat dengan mereka kerana teringat ayah sendiri.

"Lega juga kerana sekurang-kurangnya dapat ingatkan mereka yang menonton terhadap keluarga.

"Sebagai anak, saya sedar perlu realistik namun tak akan henti berdoa kepada Allah SWT mohon abah diberi kesihatan baik dan dipermudahkan urusan kami sekeluarga supaya dapat berkumpul semula Aidilfitri tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:28 PM