Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Bila saya tengok muka mak abah senyum dapat motosikal, hati saya puas dan rasa seronok sangat kerana dapat membahagiakan hati orang tua kami," kata Rohaida Baharin,37.

Rohaida memberi reaksi itu selepas video misinya memberi kejutan menghadiahkan sebuah motosikal kepada bapanya, Baharin Abdullah, 75, sempena hari ulang tahun kelahiran pada 31 Januari lalu tular di TikTok.

Menurut peniaga dalam talian itu, ia bermula apabila dia diamanahkan kakaknya, Rosniza, 44, yang tidak dapat menyerahkan sendiri motosikal terbabit kerana tuntutan tugas sebagai jururawat.

"Motosikal yang sering digunakan abah untuk ke masjid dan kedai sudah uzur kerana usianya mencecah 17 tahun.

"Jadi sempena hari jadi abah, kakak berhajat menghadiahkan motosikal baru untuk keselesaan abah.

"Namun, disebabkan kekangan tugas kakak memberi amanah saya dan suami yang kebetulan rumah kami berhampiran kediaman abah untuk menguruskan pembelian motosikal itu termasuk menyerahkannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia dan suaminya, Mohd Norizham Sulaiman, 37, merancang kejutan itu bagi menjadikan detik penyerahan itu bermakna dan kenangan itu dapat dikongsi bersama mereka sekeluarga.

"Selain kakak, abang saya masing-masing berada di Kuantan, Pahang dan Singapura tidak dapat bersama meraikan detik itu kerana tuntutan tugas dan sekatan perjalanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Oleh itu, saya berpakat dengan suami membuat kejutan ini termasuk merakam video reaksi abah menerima hadiah itu untuk dikongsikan dalam group WhatsApp keluarga kami sebelum memuat naik di TikTok," katanya yang menetap di Kuantan.

Rohaida berkata, dia puas hati dapat menunaikan hajat kakaknya serta pada masa sama menjayakan misi kejutan itu.

"Paling saya tersentuh hati melihat reaksi abah yang terkejut dengan menyebut Subhanallah sambil mak tersenyum mengiringinya ke motosikal.

"Walaupun tidak seberapa, tetapi impaknya sangat bermakna buat kami sekeluarga apatah lagi detik ini menjadi pengubat rindu abang sulung yang terkandas di Singapura sejak PKP 1.0 lagi," katanya.

Setakat ini, video kejutan yang dimuat naik semalam itu meraih lebih 241,000 tontonan dan lebih 27,000 tanda suka serta 700 komen.

BAHARIN bersama isteri mengambil gambar kenangan dengan motosikal baharu. FOTO ihsan Rohaida Baharin
BAHARIN bersama isteri mengambil gambar kenangan dengan motosikal baharu. FOTO ihsan Rohaida Baharin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:00 PM