Keadaan jalan di Jalan Teratai dilimpahi air berikutan Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Keadaan jalan di Jalan Teratai dilimpahi air berikutan Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Klang: Seramai 448 individu terjejas banjir terpaksa dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Selangor setakat jam 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, seramai 43 anggota dan pegawai dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan bagi memantau operasi banjir.

"Tiga kawasan terkesan membabitkan Daerah Klang, Daerah Kuala Selangor, dan Daerah Petaling di mana 169 keluarga terjejas terpaksa dipindahkan.

"Tiga PPS dibuka setakat jam 8 malam di Sekolah Kebangsaan Merbau 3 Sempak, Dewan MPKS Desa Coalfields, dan di Sekolah Kebansaan Binjai, Meru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemantauan dijalankan di beberapa lokasi antaranya di sekitar Sungai Buloh iaitu di Jalan Gajah 1,5,16,23,24 Kampung Kubu Gajah danKampung Merbau Sempak.

Katanya, pemantauan di sekitar Bestari Jaya di jalankan di sekitar Taman Saujana Aman manakala di Klang di Kampung Sungai Udang, Kampung Delek, Taman Rashna, Jalan Beruas, Jalan Balau dan beberapa lokasi lain.

"Tiga Pos Kawalan Hadapan (PKH) turut dibuka di PPS terbabit bagi menjalankan operasi banjir harian.

"Keseluruhan sebanyak tiga operasi banjir sudah dijalankan dengan 11 operasi pemantauan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 10:32 PM