KEADAAN penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir berikutan limpahan Sungai Binjai di Meru, Klang. FOTO Asyraf Hamzah
KEADAAN penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir berikutan limpahan Sungai Binjai di Meru, Klang. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir terjejas di seluruh negara petang ini menurun kepada 524 orang berbanding 631 yang direkodkan pagi tadi.

Kemas kini laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat petang ini merekodkan, 524 mangsa daripada 117 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri.

Selangor, mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 400 mangsa banjir membabitkan 95 keluarga ditempatkan di tiga PPS di negeri itu.

Daripada jumlah itu, 334 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak manakala 54 orang membabitkan 15 keluarga berlindung di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor.

Sebuah lagi PPS baharu di SK Sungai Binjai, Klang dibuka tengah hari tadi bagi menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.

Selain itu, dua PPS di Port Dickson, Negeri Sembilan iaitu Balairaya Permatang Pasir dibuka bagi menempatkan 60 orang daripada enam keluarga manakala sembilan mangsa membabitkan dua keluarga masih berlindung di Balairaya Kampung Linggi.

Pada masa sama, 55 mangsa daripada 14 keluarga belum dibenarkan pulang dan masih ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai, Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, Selangor mencatatkan pertambahan satu lagi PPS di Klang yang dibuka kira-kira 12 tengah hari tadi bagi menempatkan 12 mangsa terjejas banjir.

Pertambahan itu katanya, menjadikan tiga PPS beroperasi di negeri itu setakat ini.

"Kira-kira 12.05 tengah hari, anggota APM mula berada di pos bagi membantu mangsa banjir manakala pihak sekolah juga berada di PPS bagi membantu melancarkan pembukaan PPS.

"Setakat ini, keadaan masih terkawal dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:58 PM