MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SMK Dengkil. FOTO Bernama
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SMK Dengkil. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Langat: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat kepada 692 orang setakat jam 5 petang.

Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan 175 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS di Selangor susulan kejadian banjir di beberapa kawasan sejak kelmarin.

"Sebuah lagi PPS di buka jam 5.24 petang hari ini di Dewan Orang Ramai Sri Cheeding di sini melibatkan lapan mangsa dari keluarga terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita.

"Keseluruhannya sebuah PPS dibuka di masing-masing di daerah Hulu Selangor, Hulu Langat dan Petaling; Sepang (empat) dan Kuala Langat (tiga)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, jumlah mangsa banjir di Selangor mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan seramai 685 mangsa setakat jam 8 pagi tadi.

Daerah yang paling terjejas adalah Sepang dengan 498 mangsa banjir daripada 132 keluarga.

Seramai 256 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, manakala 104 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato' Ahmad Razali.

Dalam pada itu APM memaklumkan, pemantauan pihaknya mendapati paras air sungai di sekitar daerah ini tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan setakat jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:40 PM