TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Tinggi Muar. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Tinggi Muar. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Lelaki warga Singapura dipenjara 13 tahun serta 10 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki methampethamin dan juga racun dalam leraian tumbuhan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ng Len Chee, 48, berhadapan dua pertuduhan, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suria Kumar Durairaj Johnson Paul.

Bagaimanapun, teman wanitanya, Chan Yi Chin, 30, yang juga ibu tunggal kepada dua anak dibebaskan selepas didapati tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama-sama teman wanitanya didapati dalam mencapai niat bersama-sama memiliki methamphetamine berat bersih 88.06 gram.

Kejadian itu berlaku di parkir Pangsapuri Permata, Jalan Haji Jaib, dalam daerah ini pada jam 10.15 pagi, 26 Oktober 2020.

Oleh itu, tertuduh bekerja mekanik didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama memiliki leraian bahan tumbuhan dengan berat bersih 30.37 gram, mengandungi bahan psikotropik jenis methanone.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama dengan kejadian dan masa berlaku ditempat sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala Len Chee dan Yi Chin masing-masing diwakili Celva Suppiah dan R K Bala.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan untuk pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua, dua tahun penjara.

Semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan Oktober 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:04 PM