GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Lima sahabat termasuk tiga wanita berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, tadi, atas tuduhan memiliki dadah methamphetamine.

Tertuduh, Muhammad Fikri Borhan, 29, Muhammad Izzuddin Nordin, 24, Noor Anis Syahirah Azmy, 26, Nurul Aliah Maisarah Rashidi, 19, dan Khairul Bariyah Zulkernaien, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah seberat 35.48 gram di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Murni, Taman Bukit Beruang Utama di sini, pada jam 11 malam, pada 9 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebat minimum 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan dipertuduhkan tidak boleh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 19 Julai depan untuk serahan dokumen.

Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret semua tertuduh turut mengaku tidak bersalah memiliki dadah methamphetamine seberat 0.30 gram pada masa, tarikh dan di tempat sama.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 4:11 PM