MADIUS Tangau (dua kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada penerima di daerah Tuaran. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
MADIUS Tangau (dua kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada penerima di daerah Tuaran. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
Izwan Abdullah

Tuaran: Seramai 60 pelajar kurang berkemampuan di daerah ini ceria apabila menerima bantuan untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Program berkenaan diadakan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.

Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau berkata, program itu adalah inisiatif terbaik dalam membantu membangunkan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

"Saya amat berterima kasih kepada YBR di atas bantuan yang diberikan untuk membantu golongan memerlukan agar mendapatkan pendidikan lebih baik.

"Usaha ini harap dapat dikekalkan kerana masih ramai memerlukan bantuan dalam pendidikan dan secara tidak langsung mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga," katanya.

Turut hadir, Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Bantuan berkenaan diberikan kepada kumpulan pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40.

Sementara itu, Philip berkata, bantuan tunai berkenaan adalah inisiatif YBR bagi mengurangkan kos sara hidup yang meningkat akibat kemelesetan ekonomi.

"Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan pelajar dan golongan muda akses kepada pendidikan berkualiti, inisiatif ini diharapkan dapat membantu lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

"Selain itu, ia juga diharap dapat meniup semangat kepada penerima bantuan untuk mencapai kejayaan dengan lebih cemerlang," katanya.

Sepanjang tahun lalu, seramai 3,580 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:37 PM