DR Wan Azizah pada majlis perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR semalam. FOTO Ihsan YBR
DR Wan Azizah pada majlis perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR semalam. FOTO Ihsan YBR
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 110 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima bantuan awal untuk menyambung pengajian dari Yayasan Bank Rakyat (YBR), semalam.

Penyerahan bantuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Insan Sejahtera Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Bandar Tun Razak, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagaian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Objektif bantuan itu adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester, dan membolehkan penerima menyediakan kelengkapan untuk meneruskan pengajian.

Dr Wan Azizah berkata, bantuan tunai itu bagi mengurangi bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau amat berterima kasih di atas sokongan berterusan diberikan YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik khususnya dalam kalangan pelajar di Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Philip berkata, YBR akan berusaha untuk membantu lebih ramai pelajar dalam kalangan B40 sebagai persediaan dalam memulakan atau menyambung pengajian sedia ada.

"Golongan terbabit diharap bersemangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertier seterusnya meningkatkan pembangunan modal insan negara dengan inisiatif itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 7:59 PM