Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict dan Pengurus Besar YBR, Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani ketika Majlis Penyampaian Bantuan Asnaf dan Masjid di sekitar Kadamaian, Sabah. FOTO IHSAN YBR
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict dan Pengurus Besar YBR, Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani ketika Majlis Penyampaian Bantuan Asnaf dan Masjid di sekitar Kadamaian, Sabah. FOTO IHSAN YBR
Muhaamad Hafis Nawawi


Penampang: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada sekolah rendah dan menengah di Sabah termasuk pendidikan khas bagi membantu sesi persekolahan yang bermula sejak Mac lalu.

Sebanyak 63 sekolah membabitkan 54 sekolah kebangsaan (SK) dan sembilan sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerima bantuan ini melalui program bantuan sekolah YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bantuan sekolah ini membabitkan murid dalam kalangan asnaf dan keluarga B40, berobjektif bagi membantu meningkatkan akademik murid-murid untuk sesi persekolahan bagi tahun 2024.

Penyerahan bantuan kepada sekolah ini disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Dewan SK St Paul Kolopis, Penampang.

Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR,Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Ewon Benedick berkata, bantuan ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baru.

"Saya amat berterima kasih kerana YBR berterusan membantu sekolah di Sabah dan berharap lebih banyak organisasi lain akan turut sama berganding bahu dalam memberi bantuan tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan ke peringkat seterusnya," katanya di dalam majlis penyerahan bantuan di sini hari ini.

FOTO Ihsan YBR
FOTO Ihsan YBR

Philip pula berkata, pemberian bantuan ini dapat membantu pelajar dan sekolah khususnya di Sabah.

"Bantuan ini diharapkan dapat memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk sentiasa meningkatkan momentum dalam membantu murid-murid.

"Ia juga sebagai salah satu strategi YBR dalam membantu komuniti setempat dan masyarakat terutamanya di dalam bidang pendidikan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi rakyat terutamanya di Sabah," katanya.

Bagi tahun 2023, seramai 10,726 muridmenerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.75 juta yang melibatkan 31 lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 8:42 PM