Nurul Ain (kanan) bersama kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan Nurul Ain Haron
Nurul Ain (kanan) bersama kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan Nurul Ain Haron
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, selepas empat tahun tidak pulang beraya, kali ini saya dapat meraikannya bersama keluarga tercinta."

Demikian kata Nurul Ain Haron, 38, rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Palestin apabila membuat kejutan pulang menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal lalu di rumah keluarganya di Keramat, di sini.

Menurutnya, kepulangannya itu memang tidak dijangka sama sekali oleh kedua ibu bapanya.

"Saya memang tidak beritahu keluarga mengenai perancangan ini dan sengaja ingin membuat kejutan kepada mereka. Lagi pula, mereka faham kenapa saya tak balik raya sebelum ini.

"Nak dijadikan cerita, pada 1 Syawal lalu, jam 10.30 pagi saya sudah terpacak depan rumah. Mereka semua terkejut. Bukan saja mereka yang gembira dan teruja, saya juga sama. Rasa bersyukur sangat.

"Cuma, saya balik seorang diri. Suami tidak dapat ikut bersama atas tuntutan kerja. Sekali lagi keluarga sedikit sedih sebab tak dapat beraya bersama suami," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk menyambut hari raya bersama keluarga, rakan dan sanak-saudara.

Menurutnya, dia dijangka pulang ke Ajman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 30 April ini selepas pelancaran buku keduanya.

"Insya-Allah, buku kedua saya berjudul 'Dia Anak Gaza' hasil tulisan Niza Khalid akan dilancarkan pada 28 April ini. Jadi, selepas itu baharulah saya pulang semula ke sana.

"Buku ini juga satu bentuk jihad saya bersama penulis yang mana sebahagian hasil pembelian akan disalurkan ke Gaza dan penulis pula tidak membuat sebarang tuntutan royalti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurul Ain berkongsi dia masih meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan tentera Israel meskipun menetap bersama suami di UAE.

"Buat masa sekarang, saya sedang usahakan untuk hantar bantuan ke Gaza. Seperti semua tahu, situasi sekarang tidak mudah. Di sana pula sentiasa perlukan bantuan. Memandangkan mereka sudah tahu saya buat perkara itu, jadi mereka sangat berharap saya teruskan.

"Jadi, saya masih teruskan bantuan berupa memasak masakan untuk diagihkan kepada penduduk yang berada di kem penempatan di Rafah dan Khan Yunis. Keperluan ini dibantu sepupu suami di sana. Dua ini kawasan yang bantuan tidak masuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:19 PM