NURUL Ain bersama kanak-kanak di Gaza. FOTO Ihsan keluarga Nurul Ain Haron
NURUL Ain bersama kanak-kanak di Gaza. FOTO Ihsan keluarga Nurul Ain Haron
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keluarga Nurul Ain Haron, wanita Malaysia yang ketika ini terperangkap dalam serangan kejam rejim Zionis Israel terhadap Palestin di Gaza, tidak berputus asa mendoakan keselamatannya.

Adiknya, Puteri Dania Qistina, 15, berkata, pihak keluarga saban hari melaksanakan solat hajat memohon kepada Allah SWT agar Nurul Ain, 37, dapat pulang ke pangkuan mereka dengan selamat.

"Setakat ini, tiada perkembangan terbaru yang lain. Awal pagi tadi kami cuba menghubunginya tetapi tak sempat lama dia nak terangkan apa-apa sebab komunikasi internet yang teruk di Gaza. Kami tanya khabarnya. Kami tanya dia okay ke tak? Dia kata dia okay saja. Suaminya juga masih selamat kedua-duanya sihat walafiat.

"Tentunya kami melakukan solat hajat khususnya untuk keselamatan mereka berdua suami isteri dan seluruh penduduk di Gaza. Biasanya berhubung dengan kakak pada waktu malam sebab di sana siang (beza waktu kira-kira lima jam), jika dapat pun hanya seketika," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Puteri Dania Qistina yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas berkata, dia diberitahu kakaknya bahawa bantuan kemanusiaan ada sampai di kawasan tempat tinggal di Khan Yunis, Gaza.

Namun katanya, Nurul Ain memberitahu bantuan yang tiba masih tidak mencukupi berbanding keperluan mangsa kekejaman rejim Zionis.

"Bantuan kemanusiaan ada sampai tetapi kurang dapat kepada penduduk di sana. Dia (Nurul Ain) dapat (bantuan) dan dia juga terus bantu orang lain di sana," katanya.

"Sudah menjadi rutin hariannya untuk bersiap setiap pagi ke bank terdekat untuk mengeluarkan wang sumbangan rakan, saudara-mara dan rakyat Malaysia.

"Nurul Ain bersama suaminya (Mohamed Adan Shaat, 33) akan mengagihkan bantuan makanan dan selimut selepas solat Zuhur di sekitar Khan Yunis," katanya.

Sementara itu, Puteri Dania Qistina berkata, buat masa ini belum ada perkembangan terbaru daripada pihak Wisma Putra berhubung perancangan membawa pulang kakaknya itu ke tanah air.

Beliau berkata, kakaknya itu masih berada di Khan Yunis dan belum bergerak ke Lintasan Rafah sempadan Mesir kerana situasi bahaya pengeboman oleh rejim Zionis.

Nurul Ain berasal dari Keramat, di sini, dan ini kali pertama dia pulang ke kampung halaman suami di Gaza selepas enam tahun berkahwin.

Memasuki tempoh sebulan, rakyat Palestin kini semakin sengsara akibat serangan tentera Israel sejak 7 Oktober lalu yang mengebom hampir seluruh Gaza termasuk kediaman, hospital, masjid, gereja dan sekolah sehingga mengorbankan ribuan nyawa tidak kira sama ada bayi, kanak-kanak dan orang tua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 6:02 PM