BUNTING sebagai tanda terima kasih kepada Nurul Ain atas bantuan dibuat.
BUNTING sebagai tanda terima kasih kepada Nurul Ain atas bantuan dibuat.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kalau boleh nak kembali ke Gaza, tapi sempadan sudah ditutup. Saya nak terus membantu mereka di sana," kata Nurul Ain Haron, 38, rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Palestin.

Menurutnya, biarpun kini menetap di Ajman, Emirah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya warga Palestin Mohamed A.M. Shaat, dia tetap meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan tentera Israel.

Nurul Ain berkata, dia mendapat pertolongan sepupu suaminya bagi melaksanakan bantuan itu.

"Memang nak balik sangat jumpa keluarga mentua di sana, tapi bukan waktu sekarang. Memang masuk nak 'bunuh diri' kalau pergi sekarang.

"Pun begitu, Alhamdulillah saya masih sampaikan bantuan melalui sepupu suami di Rafah. Di Khan Yunis pula buat masa sekarang agak sukar tapi sempat beri bantuan sebelum tentera Israel membuat sekatan jalan di hadapan Universiti al Aqsa," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Berkongsi mengenai keadaan keluarga mentuanya di sana, Nurul Ain berkata, kesemua mereka kini berada di khemah di Khan Yunis.

"Mentua saya sekarang berada di khemah di Khan Yunis. Rumah mereka sudah musnah. Apa pun kami bersyukur mereka terselamat ketika tentera Israel memasuki rumah mereka.

"Ayah mertua saya cakap, perang kali ini lebih teruk daripada perang Nakbah. Sewaktu saya di sana, mereka dah cakap ini Nakbah kedua," katanya.

Menurutnya, sukar untuk berkomunikasi dengan mentua ekoran talian Internet tidak berfungsi dengan baik.

"Nak berhubung dengan mereka di sana susah. Satu 'line' saja berfungsi. Itu pun kena tunggu jaringan. Kebiasaannya jam 2 pagi waktu Gaza baru dapat," katanya.

Terdahulu, Nurul Ain yang dibawa keluar dari Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir selamat tiba di tanah air bersama suaminya, 14 November lalu.

Nurul Ain dan suaminya berada di Gaza sejak 1 Oktober lalu untuk melawat keluarga mentuanya sebelum pergolakan di Gaza tercetus pada 7 Oktober.

#kw Nurul Ain, Gaza, Palestin

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 12:12 PM