Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia sudah dibawa pulang dari Gaza ke Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, akan menetap sementara bersama keluarganya bagi menguruskan sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk membantu rakyat Palestin.

Beliau berkata, buat masa ini hanya suaminya Mohamed AM Shaat, akan pulang dalam masa terdekat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi meneruskan kembali pekerjaannya.

"Ini kerana saya perlu menyalurkan segala sumbangan diterima dan saya merancang untuk menyerahkannya dalam bentuk tunai kepada abang ipar. Di sana, lebih mudah untuk mereka beli segala apa keperluan dan saya juga ada hubungi pembekal makanan di sana.

"Tetapi setakat hari ini, sudah tiga hari saya tidak berjaya hubungi keluarga mentua memandangkan talian telefon dan internet terputus, tiada langsung khabar berita yang kami dapat ketahui," katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan perkongsiannya, di sini, hari ini.

Nurul Ain dan suaminya selamat tiba 14 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.55 malam dengan menaiki syarikat penerbangan Malaysia (MAS) dari Kaherah.

Sebelum ini, pada 12 November lalu, mereka berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, ketika lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

NURUL Ain (kanan) bersama suaminya tidak dapat menahan pilu ketika menceritakan pengalaman di Gaza. FOTO Bernama
NURUL Ain (kanan) bersama suaminya tidak dapat menahan pilu ketika menceritakan pengalaman di Gaza. FOTO Bernama

Nurul Ain berkata, bagaimanapun, beliau tetap optimis dan yakin bahawa segala barangan bantuan yang kini tersekat di sempadan Rafah akan berjaya disalurkan, cuma tidak pasti sampai bila ia akan disekat memandangkan pintu sempadan itu dikawal oleh Israel.

"Saya bergerak sendirian dan agak susah. Dalam masa yang sama bantuan disekat, jadi saya berpendapat mereka akan lebih memerlukan tunai supaya dapat membeli apa saja barang keperluan mereka. Lebih-lebih lagi musim sejuk akan tiba, pastinya penduduk Palestin memerlukan selimut, banyak rumah sudah musnah.

"Sebelum ini kami dapat membeli sedikit selimut, tetapi stok makin tiada, malah bantuan semua disekat di sempadan Rafah. Apa-apa bantuan yang nak masuk kena dapatkan kebenaran daripada Israel," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Ain berkata, beliau sangat kagum dengan semangat juang semua rakyat Palestin kerana mereka seolah-olah bersedia dan sentiasa ucapkan syukur walaupun rumah musnah, makanan tiada, air bersih tiada, elektrik dipotong, namun mereka masih bernyawa.

"Mereka sentiasa bersedia untuk mati syahid, malah wanita di sana, apabila tiba waktu tidur, akan terus memakai telekung kerana jika mati akibat di bom, auratnya terpelihara.

"Ada beberapa situasi yang menjadikan saya sebak apabila anak saudara suami meminta membawanya pulang ke Malaysia. Bawalah saya pulang ke Malaysia kerana di sana tiada bom. Tetapi keesokannya, dia tukar fikiran dan ingin duduk di sana kerana jika mati, mereka akan mati syahid," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau tetap memohon orang ramai sentiasa mendoakan penduduk Palestin dan terus memboikot produk yang menyokong Israel jika terdapat alternatif lain yang boleh ditukar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 5:53 PM