GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Muar: Tiga individu yang dikehendaki polis bersabit dalam kes samun penuntut wanita universiti awam (UA) di Pagoh, diberkas polis di dua lokasi, semalam.

Dua daripada tiga suspek yang ditahan masing-masing memiliki 27 dan 33 rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas seorang suspek di berhampiran susur keluar Pagoh, Lebuhraya Utara-Selatan, 9 pagi semalam.

Beliau berkata, penahanan suspek pertama membawa kepada penahanan dua lagi individu membabitkan kes sama di sebuah taman di Kulai beberapa jam selepas itu.

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 23 tahun diburu selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang juga penuntut, memaklumkan mereka bertiga disamun dua individu tidak dikenali di kolej kediamannya.

"Suspek menyerbu masuk ke dalam bilik mangsa sambil mengacu pisau dan mengambil barang milik penuntut itu sebelum melarikan diri.

"Bertindak atas laporan dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Balai Polis Panchor, serta Unit Anjing Pengesan (K9) Segamat melancarkan operasi memburu suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, selain menahan ketiga-tiga suspek, polis turut merampas berangan kes termasuk rantai emas, telefon bimbit, tiga kereta disyaki dicuri, dan dadah jenis methampethamin seberat 3.15 gram.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dengan hukumannya ialah penjara 20 tahun dan juga sebatan." katanya.

Penuntut UA di Pagoh kena samun

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:06 PM