GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Muar: Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dadah bertindak membakar motosikal selepas marah terhadap abangnya yang enggan berpindah dari rumah ibunya dalam kejadian di Kampung Sri Panchor, dekat Pagoh, semalam.

Sebelum kejadian, suspek berusia 30 tahun beberapa kali meminta abangnya yang menumpang di rumah ibunya sejak berkahwin, supaya mencari rumah lain memandangkan bilangan anaknya semakin ramai.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kemarahan abangnya berusia 40-an sehingga tercetus perang mulut yang kemudiannya membawa kepada insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.59 tengah hari semalam.

Beliau berkata, suspek didakwa mengamuk sebelum membakar motosikal jenis Honda ADV150 milik abangnya.

"Berikutan itu, polis menahan suspek selain turut merampas pemetik api yang disyaki digunakan dalam kejadian ini. Motif dan punca kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati antara mangsa dan suspek.

"Siasatan awal polis juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau iaitu kes dadah dan dua kes jenayah lain," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, suspek sudah direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 3:13 PM