Alias Abd Rani

Muar: Seorang nelayan direman tiga hari bagi membantu siasatan insiden mengamuk serta membaling cawan berisi kopi panas terhadap adik iparnya pada kejadian di sebuah rumah di Pagoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pada kejadian jam 5.30 petang, suspek berusia 50-an bertindak demikian selepas berlaku perang mulut dengan iparnya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada urusan pembahagian harta pusaka peninggalan bapa mangsa.

"Pada mulanya, hanya berlaku pertengkaran mulut berhubung pembahagian harta pusaka dan kesudahannya suspek mengamuk dan memecahkan barangan dalam rumah.

"Pengadu yang juga adik ipar suspek menerima panggilan telefon daripada kakaknya memberitahu insiden membabitkan suspek yang agresif.

"Perbuatan suspek membahayakan ibu dan keluarganya. Suspek mengamuk hingga membaling cawan berisi kopi panas kerana tidak berpuas hati urusan pembahagian harta pusaka tanpa melalui rundingan," katanya dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

"Suspek direman tiga hari bermula hari ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

SUSPEK baling cawan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas direman tiga hari. FOTO Alias Abd Rani
SUSPEK baling cawan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas direman tiga hari. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 3:24 PM