KEMALANGAN membabitkan enam kenderaan di Kilometer 134.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Pagoh, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan enam kenderaan di Kilometer 134.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Pagoh, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Muar: Dua lelaki maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 134.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, di Pagoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian pada 4.45 pagi itu membabitkan enam kenderaan iaitu tiga lori

kontena, dan masing-masing sebuah bas, treler serta kereta.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori kontena dari arah Klang menghala ke Johor Bahru.

"Ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira keluar dari susur kawasan rehat dan rawat (RNR) Pagoh arah selatan sebelum berlaku pelanggaran di antara kedua-dua buah kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut ialah pemandu lori kontena, K. Gunalan, 45, dan pemandu kereta Proton Wira, Senawi Jelani, 55, yang juga seorang anggota polis daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian berkenaan pada 4.48 pagi.

"Tindakan awal operasi adalah mengeluarkan mangsa yang maut dan tersepit dalam kenderaan masing-masing.

"Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 6:00 PM