MUHAMMMAD Nur Hadith
MUHAMMMAD Nur Hadith
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya berharap pembedahan suami nanti berjalan lancar dan semua dapat membantu mendoakan kesembuhan buat suami," kata Siti Noraida Hassan, 38, isteri kepada pengawal peribadi yang ditembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Ahad lalu yang dijangka menjalani pembedahan hari ini.

Siti Noraida memaklumkan perkara itu ketika dihubungi Harian Metro dan turut memberitahu suami, Muhammmad Nur Hadith kini masih ditidurkan di Hospital Cyberjaya dan menunggu masa menjalani pembedahan.

Menurutnya, setakat ini dia masih menunggu pihak hospital memaklumkan masa untuk suaminya menjalani pembedahan membabitkan usus kecil dan pemeriksaan organ lain.

"Hari ini baru pembedahan major, sekarang (suami) masih ditidurkan dan kami masih menunggu untuk prosedur itu (namun) belum tahu lagi jam berapa (pembedahan dilakukan) dan (keadaan suami) stabil sebab ditidurkan.

"Sebelum ini tak buat apa-apa hanya hentikan pendarahan dan tunggu dia stabil (sebelum menjalani pembedahan)," kata ibu kepada tiga anak berusia antara tiga bulan hingga 13 tahun.

Katanya, anak tahu mengenai keadaan bapa mereka dan masih bersedih dengan kejadian itu selain turut selalu bertanya perkembangan insan tersayang itu.

"Setakat ini anak belum melawat ayah mereka dan saya tunggu selepas pembedahan selesai baru bawa mereka lawat suami.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas ditembak oleh suspek yang mahu melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan ditidurkan akibat kecederaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:35 AM