MUHAMMMAD Nur Hadith bersama isterinya dan tiga anak ketika menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu.
MUHAMMMAD Nur Hadith bersama isterinya dan tiga anak ketika menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: "Kami baru pulang menyambut Aidilfitri di kampung di Pahang sebelum suami maklum perlu bertugas jam 11 malam tadi (kelmarin)," kata Siti Noraida Hassan, 38, isteri pengawal peribadi yang ditembak seorang lelaki dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi semalam.

Siti Noraida berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon daripada Hospital Cyberjaya jam 2 pagi semalam untuk memaklumkan keadaan suaminya, Muhammmad Nur Hadith atau lebih dikenali sebagai Along ditembak ketika bertugas.

Katanya, dia dan suaminya baru pulang menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Pahang sebelum suaminya keluar bertugas menjadi pengiring dan pengawal peribadi kepada seorang wanita.

"Saya ingat suami kena serangan darah tinggi kerana penat bertugas, tetapi apabila dimaklumkan dia ditembak kerana menghalang peluru yang dilepaskan lelaki itu, buat saya terkejut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai keadaan terkini suaminya, suaminya perlu ditidurkan bagi menghentikan pendarahan di perut.

"Pihak hospital memaklumkan suami mengalami pendarahan yang teruk sehingga sesak nafas dan perlu ditidurkan bagi melakukan pembedahan pada usus kecilnya.

"Keadaannya agak kritikal dan perlu melakukan pembedahan dalam tempoh 24 atau 48 jam ini. Harap semuanya dalam keadaan yang baik," katanya.

Siti Noraida berkata, dia mempunyai tiga orang anak masing-masing berusia di antara 13 tahun sehingga 3 bulan.

"Suami ditugaskan sebagai pengawal peribadi secara sambilan sebelum Ramadan lepas dan pernah mengiringi wanita iaitu isteri suspek ke mahkamah bagi proses perceraian mereka.

"Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat media tempatan dan hanya menjadi pengawal peribadi secara sambilan.

"Jika dia berkelapangan dia akan bertugas sebagai pengawal peribadi bergantung kepada tugasan siapa yang perlu dia iring," katanya.

Katanya, tugas suaminya hanya sebagai pengiring tanpa memegang apa-apa senjata bagi mempertahankan diri.

"Saya serah kepada polis, kita tahu siapa pelaku. Harap dia serah diri dan bertanggungjawab apa yang dilakukan," katanya.

Pengawal peribadi perlu jalani pembedahan lagi

'Along' tidak sepatutnya bekerja semalam - Rakan

Isteri pengawal peribadi tak sangka suami ditembak pada bulan Syawal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 8:57 AM