TANGKAP layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.
TANGKAP layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Bunyi tembakan yang menggemparkan pengembara dan kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi dipercayai cubaan bunuh ke atas seorang wanita tempatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 pada 1.15 pagi.

"Seorang lelaki tempatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah wanita yang merupakan isterinya.

"Tembakan itu bagaimanapun mengenai orang awam lain dan suspek kemudiannya melarikan diri," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Hussein menolak kaitan insiden itu dengan isu pengganas, ekstremis mahupun gangguan awam, sebaliknya ia berkaitan perselisihan antara suami isteri.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan usaha memburu lelaki itu yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air sedang giat dijalankan.

"Ketika kejadian, suspek melepaskan dua das tembakan dan salah satu (tembakan) itu mengena mangsa. Dia cedera di perut," katanya yang tidak mengulas lanjut kecederaan mangsa yang juga pengawal peribadi wanita berkenaan.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati suspek didakwa mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah, apabila tembakan itu tersasar.

"Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Akta Senjata Api," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.

Seorang wanita dipercayai berada di lokasi ketika kejadian memuat naik hantaran di Facebook, mendakwa mangsa yang terkena tembakan adalah pengawal peribadinya.

Dalam hantaran sama, individu itu memaklumkan sudah membuat laporan polis dan satu kenyataan rasmi akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Berita berkaitan

Peguam nasihat tak keluar kenyataan - Farah Cie

Polis pantau sempadan elak suspek kes tembak di KLIA lolos

Isteri pengawal peribadi tak sangka suami ditembak pada bulan Syawal

Pengawal peribadi ditembak terpaksa ditidurkan

Suspek miliki 3 rekod jenayah lampau

'Saudara Hafizul... serah diri dengan aman'

Kejadian tembak di KLIA bersifat peribadi - Polis

'Doakan pengawal peribadi saya'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:29 AM