Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Penduduk di Jalan Lembah 19, Bandar Seri Alam, di sini, merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menyelesaikan masalah anjing liar di kawasan itu sebelum berlaku kejadian lebih buruk.

Peniaga, Mohd Hezrien Hanapian, 32, berkata, dalam kejadian terbaru jam 2.30 petang semalam, dia menyaksikan seorang gadis digigit anjing liar ketika berjalan berseorangan.

Menurutnya, mangsa sebelum itu dikejar sekumpulan anjing liar dan terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

"Mangsa digigit di tangan dan ketika itu mujur seorang tukang kebun menyelamatkannya dan menghalau anjing terbabit.

"Kejadian bukan sekali dua berlaku kerana beberapa orang pernah dikejar anjing, cuma mereka dapat menyelamatkan diri," katanya.

ANJING liar berkeliaran di Jalan Lembah 19, Bandar Seri Alam. (Gambar kecil) Seorang gadis cedera di tangan akibat digigit anjing liar. FOTO ihsan Mohd Hezrien Hanapian
ANJING liar berkeliaran di Jalan Lembah 19, Bandar Seri Alam. (Gambar kecil) Seorang gadis cedera di tangan akibat digigit anjing liar. FOTO ihsan Mohd Hezrien Hanapian

Sementara itu, pembantu restoran, Maya Selamat, 48, berkata, terdapat kira-kira 10 anjing liar berkeliaran di kawasan bangunan rumah kedai.

Menurutnya, anjing liar itu bukan saja mengancam keselamatan anak-anaknya malah membahayakan penduduk setempat.

"Sebelum ini kami pernah membuat laporan kepada PBT. Kami khuatir kejadian lebih serius.

"Kehadiran anjing turut meninggalkan kesan kekotoran kerana najis haiwan itu boleh dilihat di merata tempat," katanya.

Maya berkata, penduduk merayu PBT supaya masalah anjing liar dapat dikawal dengan lebih berkesan sebelum berlaku kejadian lebih buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 3:14 PM