GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Polis menahan tujuh individu, termasuk seorang wanita, yang menjadi orang upahan sindiket along selepas terbabit melakukan khianat dengan api, menyimbah cat dan mengugut mangsa.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, suspek warga tempatan berusia 29 hingga 48 tahun itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan pada 28 Mac hingga 7 April lalu.

Beliau berkata, serbuan dijalankan 21 anggota D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Menurutnya, ketujuh-tujuh suspek aktif mengancam mangsa sejak Januari lalu.

"Menerusi serbuan, kami antaranya merampas tujuh telefon bimbit, wang RM2,300 dan tiga bungkus plastik mengandungi cat merah.

"Hasil ujian air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine selain memiliki rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 436, Seksyen 435, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952." katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Kumar berkata, sindiket mengiklankan tawaran pinjaman wang di Facebook dengan mengaku ia pinjaman berlesen.

"Sindiket turut memaksa peminjam untuk membuat bayaran walaupun perjanjian pinjaman belum dipersetujui.

"Sindiket mengenakan kadar faedah antara 20 hingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman. Sekiranya peminjam gagal atau enggan membayar, orang suruhan sindiket akan mengugut seterusnya melakukan perbuatan khianat simbah cat atau khianat dengan api untuk menakutkan peminjam serta ahli keluarga," katanya.

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati, sasaran sindiket termasuk warga tempatan yang bekerja di luar negara dan segala urusan transaksi kemasukan serta pembayaran balik pinjaman adalah menggunakan akaun bank yang didaftarkan di luar negara.

Menurutnya, pihaknya dapat menyelesaikan 29 kes hasil penahanan kesemua suspek.

Kumar berkata, bagi tempoh Januari 2020 sehingga April 2024, polis merekodkan 1,211 kes seperti itu dan 333 individu yang terbabit dengan sindiket along dapat ditahan.

"Sindiket ini dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket di Singapura dan siasatan akan terus dijalankan bagi memburu ahli sindiket yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 4:24 PM