Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Tujuh lelaki ditahan dalam dua serbuan di kediaman di Apartment Impian Senibong dekat sini, pada 7.45 pagi hari ini kerana disyaki sebagai anggota sindiket pinjaman wang tidak berlesen.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis membabitkan tiga pegawai dan 12 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 25 tahun.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak tahun lalu dengan memberi pinjaman wang sebanyak RM500 hingga boleh mencecah RM10,000 dengan kadar faedah yang dikenakan adalah antara 10 hingga 20 peratus.

"Sindiket ini juga terbabit dalam kejadian simbah cat dan membuat ugutan jenayah kepada peminjam yang gagal membuat bayaran," katanya.

Menurutnya, polis menahan tiga lelaki dalam serbuan pertama dan merampas buku catatan pinjaman, cat merah, nombor pendaftaran kenderaan dipercayai palsu, selain kad sim Singapura dan wang tunai berjumlah kira-kira RM9,130

Katanya, empat lelaki dipercayai sindiket yang sama juga ditahan dalam serbuan kedua selepas itu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas nota ugutan, kad bank, kad sim dan cat merah," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Ayob Khan berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka masih dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 29A Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat, Seksyen 506 KK (ugutan jenayah), Seksyen 435 dan 436 KK (khianat dengan api atau benda letupan) dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

"Ini adalah kumpulan along (pinjaman wang tidak berlesen) yang ketiga diberkas dalam tempoh terdekat ini.

"Bermula 1 Januari lalu hingga kini, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor berjaya menahan seramai 49 individu yang terbabit dengan kegiatan ah long.

"Sehingga kini, seramai 27 ahli kumpulan itu dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Sepanjang tiga bulan ini juga, sebanyak 54 kertas siasatan dibuka yang mana 34 kes membabitkan khianat dan simbah cat, manakala 20 kes pula khianat dengan api, dengan jumlah kerugian kira-kira RM537,000," katanya.

Tujuh lelaki ditahan dalam dua serbuan di kediaman di Apartment Impian Senibong dekat sini, pada 7.45 pagi hari ini kerana disyaki sebagai anggota sindiket pinjaman wang tidak berlesen. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Tujuh lelaki ditahan dalam dua serbuan di kediaman di Apartment Impian Senibong dekat sini, pada 7.45 pagi hari ini kerana disyaki sebagai anggota sindiket pinjaman wang tidak berlesen. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Menurutnya, operasi berterusan akan dijalankan bagi membanteras kegiatan itu, selain masyarakat turut diingatkan supaya tidak membuat pinjaman dan berurusan dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen kerana boleh terdedah kepada ancaman ugutan serta bencana harta benda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:35 PM