GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sindiket along yang ganas dan sering mengugut mangsa berjaya ditumpaskan polis menerusi Op Vulture menahan 84 ahli kumpulan berkenaan.

Kesemua mereka yang terdiri daripada warga tempatan itu adalah ahli sindiket along dikenali Geng 24 yang aktif di Pulau Pinang, diikuti Geng Ah Meng (Kuala Lumpur), Geng Andy (Kelantan), Geng David (Sabah) dan Geng Ah Loi (Sarawak).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak pertengahan 2018.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp dengan menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.

"Sindiket berkenaan turut menjanjikan faedah pinjaman antara 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

"Apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman itu, ahli sindiket akan memberikan ancaman serta ugutan kepada mangsa sama ada melalui telefon atau melakukan khianat terhadap kediaman atau tempat kerja peminjam.

"Sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dan menawarkan pinjaman baru bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu. Ini bagi membolehkan sindiket meneruskan kontrak dengan peminjam dan memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan," katanya ketika sidang media secara maya di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dalam serbuan selama dua hari itu, pihaknya merampas pelbagai barangan seperti 192 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pelbagai dokumen seperti buku nota dan kad (139 keping) serta 124 unit telefon bimbit.

Menurutnya, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM45,239, diikuti jam tangan (137 utas), buku akaun (18), komputer riba (10), set barang kemas (7), anak kunci kenderaan (8) dan tin cat minyak warna merah dan hitam (5).

"Semakan rekod lampau terhadap kesemua suspek mendapati beberapa individu yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302, Seksyen 326 , Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan selain Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan itu disiasat mengikut bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) atas kesalahan membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

"Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana memberikan ancaman atau ugutan jenayah serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata tajam.

"Polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya mendapati penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu hingga kini menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan ramai yang kehilangan punca pendapatan sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 508 kes pemberi pinjaman wang tidak berlesen disiasat membabitkan jumlah pinjaman RM2,579,677.93," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:40 PM