LORI membawa muatan pasir terbakar dengan api merebak di tebing jalan di Kilometer 11.2 Lebuhraya DUKE dekat Setiawangsa, hari ini. FOTO ihsan bomba
LORI membawa muatan pasir terbakar dengan api merebak di tebing jalan di Kilometer 11.2 Lebuhraya DUKE dekat Setiawangsa, hari ini. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah lori membawa muatan pasir terbakar dengan api merebak pada tebing jalan di Kilometer 11.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Setiawangsa di sini, hari ini.

Kejadian dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur pada 4.16 petang.

Komander Operasi, G Segar berkata, kebakaran membabitkan sebuah lori yang membawa muatan pasir.

"Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat serta Setapak dengan kekuatan 24 anggota terbabit dalam operasi pemadaman.

"Operasi pemadaman juga dibantu oleh lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela Gombak serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lori berkenaan musnah 100 peratus namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 6:16 PM