API Marak membakar bahagian depan lori. FOTO ihsan bomba
API Marak membakar bahagian depan lori. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin


PEMANDU lori menghadapi detik cemas apabila kenderaan dipandu terbakar berhampiran Prima Saujana, Kajang, hari ini.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, lori terbabit musnah di bahagian hadapan selepas berlaku kebakaran ketika perjalanan dari arah Kajang menghala ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pemandu terbabit berjaya menyelamatkan diri sebelum lori berkenaan terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada 7.26 pagi.

Katanya, enam pegawai dan anggota bersama satu jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

"Setibanya di lokasi anggota mendapati kebakaran berlaku di bahagian hadapan lori.

"Usaha pemadaman dilakukan oleh pasukan terbabit dan api berjaya dipadamkan dalam masa 15 minit.

"Tiada mangsa cedera dilaporkan susulan kebakaran terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 1:08 PM