SEBUAH hotel lima bintang di Teluk Datai terbakar petang semalam dan awal pagi hari ini. FOTO ihsan pembaca
SEBUAH hotel lima bintang di Teluk Datai terbakar petang semalam dan awal pagi hari ini. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Sebuah hotel terkemuka di Teluk Datai, di sini, terbakar sekali lagi awal pagi ini, selepas bangunan hotel sama turut terbakar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, hotel berkenaan terbakar semula akibat angin kencang selain struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.13 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi kemudian dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi pemadaman.

"Kebakaran membabitkan bangunan bersebelahan blok utama hotel berkenaan dengan anggaran keluasan ialah 91 meter panjang dan lebar 274 meter.

"Anggaran kemusnahan struktur bangunan itu ialah hampir 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya mengalami masalah bekalan air dan akses untuk melakukan operasi pemadaman.

"Anggota juga ada membuat pengawalan kebakaran di bahagian restoran bersebelahan hotel itu," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, salah sebuah bangunan hotel berkenaan terbakar namun anggota bomba berjaya mengawal kebakaran sebelum memadam api sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 12:12 PM