Program Jom Balik Raya @ WAZAN 2.0 UPM menyediakan bas secara percuma kepada pelajar asnaf. FOTO Rohanis Shukri
Program Jom Balik Raya @ WAZAN 2.0 UPM menyediakan bas secara percuma kepada pelajar asnaf. FOTO Rohanis Shukri
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Serdang: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan sebanyak 13 bas secara percuma kepada kira-kira 482 pelajar asnaf untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri minggu hadapan.

Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ia membabitkan perjalanan seluruh Semenanjung Malaysia dibiayai sepenuhnya menggunakan dana zakat disalurkan Plus Malaysia Berhad (Plus) melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

"Ia program tahunan yang diadakan dalam Ramadan yang penuh barakah untuk meringankan bebanan kewangan pelajar UPM dalam kalangan asnaf untuk pulang ke kampung menyambut ketibaan Aidilfitri bersama keluarga tercinta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie Bersempena Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2.0 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, pada majlis ini juga, Bank Islam Malaysia Berhad membuat serahan dana zakat kepada UPM berjumlah RM30,000 bagi menyantuni pelajar asnaf dalam pelbagai bentuk bantuan.

"Ia akan diselaraskan oleh pihak UPM melalui WAZAN serta kehadiran pihak Embroidery Zone (Baraplas Kreatif Enterprise) yang telah menaja beg juadah moreh kepada pelajar asnaf yang akan menaiki bas untuk pulang berhari raya pada malam ini.

"Pihak UPM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Plus, Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad dan Embroidery Zone (Baraplas Kreatif Enterprise) atas sumbangan diberikan untuk memastikan kebajikan pelajar UPM yang berkeperluan terus terpelihara," katanya.

Menurutnya, program seperti ini sangat bertepatan dalam kerangka hala tuju strategik UPM iaitu 'True North' dalam memfokuskan kepada pengukuhan komuniti kampus.

"Yang terdiri daripada kalangan pelajar dan mempunyai sumber dana kebajikan yang mampan pada setiap tahun hasil sumbangan orang ramai dan badan korporat dalam bentuk zakat, wakaf dan sumbangan kepada UPM melalui WAZAN," katanya.

Sementara itu, Pelajar Tahun 1, Fakulti Pertanian, Muhammad Amir Hakim Mohd Zaki, 22, berkata, dengan penyediaan bas secara percuma ini dapat menjimatkan duitnya daripada membeli tiket bas.

"Harga tiket bas untuk saya pulang ke Kuala Terengganu berjumlah RM50 sehala. Jadi, dengan penyediaan bas secara percuma ini dapat menjimatkan duit saya.

"Duit itu bolehlah saya beli baju raya nanti dan membeli barang-barang keperluan lain. Selain itu, saya juga dapat berkenalan dengan pelajar lain," katanya.

Pelajar Tahun 1, Fakulti Sains, Nur Athirah Abu@Hanafiah, 20, pula berkata, dengan penyediaan bas secara percuma ini memudahkan pihaknya untuk pulang beraya di Kuantan, Pahang.

Katanya, ini disebabkan sebelum ini, dia telah meminta agar ayahnya untuk memohon cuti dan mengambilnya di UPM.

"Tetapi dengan penyediaan bas ini, ayah saya tidak perlu untuk meminta cuti dan mengambil saya. Selain itu, ia juga menjimatkan kos daripada saya membeli tiket bas berjumlah RM20 sehala," katanya.

Pelajar Tahun 1, Fakulti Bio Teknologi dan Sains Bio Molekul, Wan Qhir Batrisya Wan Zin, 20, berkata, ini merupakan kali pertama dia balik ke kampung halamannya di Kuantan, Pahang menaiki bas.

"Ini pertama kali saya balik kampung naik bas. Sebelum ini ayah saya akan mengambil saya. Jadi saya berasa berdebar kerana pertama kali naik bas.

"Selain itu, saya juga berasa seronok kerana ada kawan-kawan lain yang bersama menaiki bas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 9:30 PM