LAMAN Budak Bas JB di Facebook bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai bas.
LAMAN Budak Bas JB di Facebook bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai bas.
ADAM mesra berbual dengan pemandu bas.
ADAM mesra berbual dengan pemandu bas.
Redzuan Muharam


Minat menaiki bas mendorong pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai , Muhammad AdamZikry Md Zamran, 16, menyebarkan maklumat percuma berkaitan laluan dan waktu perjalanan kepada pengguna pengangkutan awam itu.

Bagi tujuan itu, Adam mewujudkan laman Facebook khas diberi nama Budak Bas JB untuk menjawab pertanyaan pengikut selain ruangan berkongsi maklumat terkini berkaitan bas.

Untuk respons yang lebih pantas, Adam berkata, mereka yang inginkan maklumat berkenaan boleh bertanya secara terus kepadanya dengan menghantar kiriman WhatsApp.

“Kalau orang lain lebih tertarik melihat kereta, saya pula lain kerana lebih sukakan bas dan tahu mengenai laluan serta waktu perjalanannya sejak kerap menaiki pengangkutan itu tahun lalu.

“Bermula dari situ, timbul idea untuk membantu pengguna bas yang mungkin tidak tahu bas yang perlu dinaiki untuk ke destinasi.

“Walaupun tidak menerima bayaran, saya puas kerana dapat membantu dan menggalakkan lebih ramai orang menaiki pengangkutan awam,” katanya yang gemar mengambil tahu aspek lain seperti enjin dan komponen penting dalam bas.

Bercerita lanjut, Adam berkata, dia kini menghabiskan waktu cuti sekolah dengan bekerja di kaunter tiket Terminal Bas Taman Universiti Johor Bahru.

Pelajar aliran Sains itu berkata, selain memperoleh duit poket, pekerjaan terbabit memberinya peluang berkenalan dengan pemandu bas daripada pelbagai latar belakang.

“Waktu kerja saya bermula jam dua hingga enam petang dan sebelum bertugas di kaunter, saya akan mencuri masa untuk menaiki bas ke lokasi berhampiran.

“Sepanjang perjalanan, saya akan cuba berbual dengan pemandu bas dan bertanya pelbagai soalan kepada mereka yang tidak lokek ilmu untuk berkongsi cerita.

“Seronok mendengar pengalaman mereka dan kini kebanyakan mereka sudah mengenali saya malah selesa untuk duduk minum bersama,” katanya.

Mengenai hala tujunya, Adam berkata, jika berpeluang, dia mahu menyambung pengajian dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di universiti awam tempatan selepas tamat persekolahan nanti.

Menurut Adam, dia amat meminati jurusan berkenaan namun minatnya terhadap bas tetap sama dan tidak berubah.

“Saya tetap akan menaiki bas walaupun ketika di kampus atau sudah bekerja nanti, malah tidak bercadang membeli kenderaan sendiri.

“Bukan apa, saya lebih selesa menaiki pengangkutan awam lagipun lebih mudah kerana tidak perlu terperangkap dengan kesesakan lalu lintas.

“Saya harap orang lain juga begitu kerana bagi saya, penggunaan bas masih relevan walaupun kini lebih ramai yang selesa menaiki Uber dan Grabcar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 10:25 AM