SEBAHAGIAN penuntut menikmati hidangan di Dapur Rakyat UPM.
SEBAHAGIAN penuntut menikmati hidangan di Dapur Rakyat UPM.
Fazurawati Che Lah

Di sebalik kehidupan mahasiswa yang bertungkus-lumus untuk meraih keputusan cemerlang dalam tempoh pengajian, kelangsungan hidup mereka turut perlu diberi perhatian.

Menyedari hakikat itu, pelbagai inisiatif dilakukan universiti dalam usaha mengambil berat kebajikan harian penuntutnya sentiasa terjaga.

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Razali Othman berkata, mentaliti mahasiswa yang suka mengambil pendekatan berdiam diri menyebabkan universiti sukar mengesan dan membantu mereka.

Katanya, kerjasama dengan pengurusan kolej kediaman dan persatuan pelajar perlu terus terjalin baik bagi memastikan maklumat berhubung bantuan disediakan sampai kepada penuntut yang memerlukan bantuan.

DR Razali.
DR Razali.

“Ada pelajar yang kurang berkemampuan mengambil langkah berdiam diri kerana malu meminta bantuan daripada pihak universiti.

“Bagaimanapun, sebaik kita berjaya mengesan dan memberi penerangan mengenai bantuan tertentu, penuntut akan menerimanya dengan baik,” katanya.

Pengurusan universiti menubuhkan tabung endowmen (pembiayaan), wakaf dan sumbangan yang disalurkan kepada penuntut daripada keluarga miskin sebagai insentif serta kemudahan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

SUHAZLI Muhammad antara penerima wakaf OKU WAZAN.
SUHAZLI Muhammad antara penerima wakaf OKU WAZAN.

Program bantuan seumpamanya diwujudkan pihak universiti kerana bukan semua penuntut yang menjejakkan kaki ke menara gading berkemampuan untuk membayar kos pengajian, tugasan, tempat tinggal, makanan dan perbelanjaan harian mereka.

Menerusi WAZAN di UPM, Dr Razali berkata, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan seperti bantuan sara diri, biasiswa, dermasiswa, yuran pengajian, mobiliti pelajar, kecemasan, musibah, keperluan peralatan pengajian, ziarah Ramadan, tiket pengangkutan balik kampung serta penyediaan kenderaan penuntut kurang upaya.

Beliau berkata, bantuan tidak terbatas kepada keperluan itu, tetapi juga untuk makanan percuma, minyak motosikal percuma, pinjaman tanpa faedah, penyediaan kitab di surau kolej dan fakulti serta bantuan pembiayaan program yang dikendalikan penuntut sama ada di kolej kediaman mahupun di fakulti pengajian.

PENUNTUT kurang berkemampuan dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajian mereka dengan bantuan yang disediakan.
PENUNTUT kurang berkemampuan dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajian mereka dengan bantuan yang disediakan.

Katanya, bantuan yang disediakan dapat membantu membiayai keperluan penuntut kurang berkemampuan supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajian mereka di UPM.

“Sejumlah RM22 juta berjaya dikumpul daripada dana wakaf, zakat dan sumbangan umum sepanjang 2016 dan 2017.

“Lebih 7,000 pelajar kurang berkemampuan menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan WAZAN,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Razali berkata, pihaknya sentiasa terbuka membantu meringankan beban kewangan penuntut dan membimbing siswa dari sudut kaunseling supaya tidak dibiarkan hidup menderita sehingga menjejaskan pengajian mereka hanya kerana kekangan kewangan.

Katanya, seharusnya penuntut yang kurang mampu bersyukur kerana masih ada pihak yang simpati terhadap masalah dihadapi mereka.

“Barangkali ada yang menyembunyikan penderitaan hidup, namun mereka perlu ingat mereka ialah harapan keluarga untuk menggapai segulung ijazah dengan keputusan cemerlang,” katanya.

Terbaru, WAZAN UPM bersama-sama Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) membantu pelajar menerusi Projek Dapur Rakyat (PDR) iaitu L’apprenti.

BANTUAN keperluan asas turut disediakan untuk membantu penuntut yang memerlukan.
BANTUAN keperluan asas turut disediakan untuk membantu penuntut yang memerlukan.

“PDR antara lain bertujuan menyediakan makanan pada harga berpatutan untuk penuntut manakala penuntut asnaf pula akan diberikan makanan secara percuma.

“Makanan yang disediakan bukan saja dimasak mereka yang berpengalaman, juga tahap kebersihan serta kandungan menunya dikawal rapi pensyarah yang pakar dalam bidang ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, WAZAN juga akan membekalkan mesin pembuat aiskrim sebagai kudapan kepada warga UPM dan masyarakat luar yang berkunjung ke PDR.

“Beroperasi seperti sebuah kafe, makanan yang dijual pada harga sangat berpatutan iaitu tidak lebih RM5 untuk satu menu.

“L’apprenti Dapur Rakyat@UPM juga menawarkan perkhidmatan penghantaran produk bagi pakej nasi muafakat biasa berharga RM4.50 hingga RM5 dan nasi muafakat premium berharga RM6.50 (premium) khas untuk mesyuarat dan seminar,” katanya.

DAPUR Rakyat yang dilancarkan, baru-baru ini.
DAPUR Rakyat yang dilancarkan, baru-baru ini.

Katanya, WAZAN bersama Fakulti Sains Komputer melancarkan Wakaf Suara berasaskan telefon pintar untuk membantu pelajar buta (OKU) dalam pembelajaran mereka.

“Menerusi aplikasi pintar ini, masyarakat diberi peluang untuk mewakafkan suara mereka menerusi aplikasi khas yang dibangunkan UPM, kemudiannya akan diterbitkan dalam bentuk Buku Audio.

“Buku Audio ini akan digunakan oleh penuntut OKU buta bagi tujuan pembelajaran,” katanya.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof mendapat penjelasan mengenai Wakaf Suara yang dilancarkan, baru-baru ini.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof mendapat penjelasan mengenai Wakaf Suara yang dilancarkan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:36 PM