Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu lebih dua individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di ibu negara bersama enam pistol dan 200 peluru, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan pelbagai sudut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar suspek berusia 38 tahun itu masuk ke negara ini.

"Sudut siasatan kita (polis) pelbagai untuk mengetahui motif dahulu sekiranya ada pengakuan daripada suspek sendiri atau ada maklumat lain daripada sumber luar.

"Dalam siasatan ini juga terdapat lebih dua individu dalam radar polis terdiri daripada warga tempatan dan asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemilikan senjata api," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Selain motif, Razarudin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan suspek adalah ejen risikan atau pengintip.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan hasil siasatan itu kerana dikhuatiri boleh mengganggu dan merosakkan siasatan polis.

Katanya, setakat ini polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 12 Akta Pasport 1966.

Katanya, suspek masih ditahan reman sehingga 7 Mac ini dan polis sudah merakam keterangan 23 individu bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASYRAF HAMZAH

Harian Metro terdahulu melaporkan, Shalom Avitan dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.

Susulan itu, polis menahan tiga warga Malaysia termasuk pasangan suami isteri disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel terbabit di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 4:10 PM