Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Arkib NSTP
Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki warga Israel yang ditahan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 peluru hidup mempunyai agenda tertentu termasuk mengancam keselamatan individu berprofil tinggi di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang menyiasat dari semua sudut dan tujuan utama pistol berkenaan.

"Kalau betul dia mahu mengancam, entah-entah saya juga boleh jadi sasarannya. Siasatan pelbagai sudut termasuk mengapa suspek memiliki banyak senjata dalam simpanannya akan dilakukan.

"Jadi, buat masa ini siasatan menjurus ke arah itu. Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai agenda lain seperti saya nyatakan semalam akan melihat adakah dia mahu mengancam keselamatan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri Malaysia atau juga orang berkepentingan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Razarudin mengesahkan mengenai penahanan sepasang suami isteri warga tempatan kerana disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.

Razarudin berkata, kedua-dua mereka direman tujuh hari bagi siasatan mengikut Akta Senjata 1960 dan enggan mengulas lanjut.

Harian Metro melaporkan penahanan pasangan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di bazar Ramadan di Kuala Selangor.

Berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis kemudian menemukan sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.

Kelmarin, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan sebelum menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.

Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Kehadiran lelaki itu di negara ini didakwa bagi membunuh seorang rakyat Israel disyaki berada di negara ini berhubung isu keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 5:37 PM