GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang ditahan selepas disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel direman selama tujuh hari.

Penahanan reman pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu dibuat bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata 1960.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan mengenai reman dan penahanan kedua-dua suspek.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan pasangan itu di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.30 malam tadi.

Difahamkan, berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis menemui pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.

Soal siasat terhadap pasangan berkenaan, mereka mengakui membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel yang ditahan.

Tindakan lelaki warga Israel menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke ibu negara ini terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemeriksaan polis menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Senjata api yang ditemukan ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Siasatan polis mendapati semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:17 PM